KISAH HABIL DAN QABIL PUTERA NABI ADAM a.s.
Tatacara
hidup suami isteri Adam dan Hawa di bumi mulai tertib dan sempurna tatkala Hawa
bersedia untuk melahirkan anak-anaknya yang akan menjadi benih pertama bagi
umat manusia di dunia ini.
Siti Hawa
melahirkan kembar dua pasang. Pertama lahirlah pasangan Qabil dan adik
perempuannya yang diberi nama "Iqlima", kemudian menyusul pasangan
kembar kedua Habil dan adik perempuannya yang diberi nama "Lubuda".
Kedua
orang tua, Nabi Adam dan Siti Hawa, menerima kelahiran keempat putera
puterinya itu dengan senang dan gembira, walaupun Hawa telah menderita apa yang
lumrahnya dideritai oleh setiap ibu yang melahirkan bayinya. Mereka
mengharapkan dari keempat anak pertamanya ini akan menurunkan anak cucu yang akan
berkembang biak untuk mengisi bumi Allah dan menguasai sesuai dengan amanat
yang telah di bebankan ke atas bahunya.
Di bawah
naungan ayah ibunya yang penuh cinta dan kasih sayang maka membesarlah
keempat-empat anak itu dengan cepatnya melalui masa kanak-kanak dan menginjak
masa remaja. Yang perempuan sesuai dengan kudrat dan fitrahnya menolong ibunya
mengurus rumahtangga dan mengurus hal-hal yang menjadi tugas wanita,sedang yang
laki-laki menempuhi jalannya sendiri mencari nafkah untuk memenuhi keperluan
hidupnya. Qabil berusaha dalam bidang pertanian sedangkan Habil di bidang
perternakan.
Penghidupan
sehari-hari keluarga Adam dan Hawa berjalan tertib sempurna diliputi rasa kasih
sayang saling cinta mencintai hormat menghormati masing-masing meletakkan dirinya
dalam kedudukan yang wajar si ayah terhadap isterinya dan putera-puterinya,si
isteri terhadap suami dan anak-anaknya. Demikianlah pula pergaulan di antara
keempat bersaudara berlaku dalam harmoni damai dan tenang saling bantu membantu
hormat menghormati dan bergotong-royong.
Keempat Anak Adam Memasuki Alam Remaja
Keempat
putera-puteri Adam mencapai usia remaja dan memasuki alam akil baligh di mana
nafsu berahi dan syahwat serta hajat kepada hubungan kelamin makin hari makin
nyata dan nampak pada gaya dan sikap mereka hal mana menjadi pemikiran kedua
orang tuanya dengan cara bagaimana menyalurkan nafsu berahi dan syahwat itu
agar terjaga kemurnian keturunan dan menghindari hubungan kelamin yang bebas di
antara putera-puterinya.
Kepada
Nabi Adam Allah memberi ilham dan petunjuk agar kedua puteranya dikahwinkan
dengan puterinya. Qabil dikahwinkan dengan adik Habil yang bernama Lubuda dan
Habil dengan adik Qabil yang bernama Iqlima.
Cara yang
telah di ilham oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Adam telah disampaikan kepada
kedua puteranya sebagai keputusan si ayah yang harus dipatuhi dan segera
dilaksanakan untuk menjaga dan mengekalkan suasana damai dan tenang yang
meliputi keluarga dan rumahtangga mereka. Akan tetapi dengan tanpa diduga dan
disangka rancangan yang diputuskan itu ditolak mentah-mentah oleh Qabil dan
menyatakan bahawa ia tidak mahu mengahwini Lubuda, adik Habil dengan
mengemukakan alasan bahawa Lubuda adalah buruk dan tidak secantik adiknya
sendiri Iqlima. Ia berpendapat bahawa ia lebih patut mempersunting adiknya
sendiri Iqlima sebagai isteri dan sekali-kali tidak rela menyerahkannya untuk
dikahwinkan oleh Habil. Dan memang demikianlah kecantikan dan keelokan paras
wanita selalu menjadi fitnah dan rebutan lelaki yang kadang-kadang menjurus kepada
pertentangan dan permusuhan yang sampai mengakibatkan hilangnya nyawa dan
timbulnya rasa dendam dan dengki di antara sesama keluarga dan sesama suku.
Kerana
Qabil tetap berkeras kepala tidak mahu menerima keputusan ayahnya dan meminta
supaya dikahwinkan dengan adik kembarnya sendiri Iqlima maka Nabi Adam seraya
menghindari penggunaan kekerasan atau paksaan yang dapat menimbulkan perpecahan
di antara saudara serta mengganggu suasana damai yang meliputi keluarga beliau
secara bijaksana mengusulkan agar menyerahkan masalah perjodohan itu kepada
Tuhan untuk menentukannya. Caranya ialah bahawa masing- masing dari Qabil dan
Habil harus menyerahkan korban kepada Tuhan dengan catatan bahawa barang siapa
di antara kedua saudara itu diterima korbannya ialah yang berhad menentukan
pilihan jodohnya.
Qabil dan
Habil menerima baik jalan penyelesaian yang ditawarkan oleh ayahnya. Habil
keluar dan kembali membawa peliharaannya sedangkan Qabil datang dengan sekarung
gandum yang dipilih dari hasil cucuk tanamnya yang rosak dan busuk kemudian
diletakkan kedua korban itu kambing Habil dan gandum Qabil di atas sebuah bukit
lalu pergilah keduanya menyaksikan dari jauh apa yang akan terjadi atas dua
jenis korban itu.
Kemudian
dengan disaksikan oleh seluruh anggota keluarga Adam yang menanti dengan hati
berdebar apa yang akan terjadi di atas bukit di mana kedua korban itu
diletakkan, terlihat api besar yang turun dari langit menyambar kambing
binatang korban Habil yang seketika itu musnah ternakan oleh api sedang karung
gandum kepunyaan Qabil tidak tersentuh sedikit pun oleh api dan tetap tinggal
utuh.
Maka
dengan demikian keluarlah Habil sebagai pemenang dalam pertaruhan itu karena
korban kambing telah diterima oleh Allah sehingga dialah yang mendapat
keutamaan untuk memilih siapakah di antara kedua gadis saudaranya itu yang akan
dipersandingkan menjadi isterinya.
Pembunuhan Pertama Dalam Sejarah Manusia
Dengan
telah jalurnya keputusan dari langit yang menerima korban Habil dan menolak
korban Qabil maka pudarlah harapan Qabil untuk mempersandingkan Iqlima tidak
puas dengan keputusan itu namun tidak ada jalan untuk menyoalkan. Ia menyerah
dan memerainya dengan rasa kesal dan marah sambil menaruh dendam terhadap Habil
yang akan dibunuh di kala ketiadaan ayahnya.
Ketika
Adam hendak berpergian dan meninggalkan rumah beliau mengamanahkan rumahtangga
dan keluarga kepada Qabil. Ia berpesan kepadanya agar menjaga baik-baik ibu dan
saudara-saudaranya selama ketiadaannya. Ia berpesan pula agar kerukunan
keluarga dan ketenangan rumahtangga terpelihara baik-baik jangan sampai terjadi
hal-hal yang mengeruhkan suasana atau merosakkan hubungan kekeluargaan yang
sudah akrab dan intim.
Qabil
menerima pesanan dan amanat ayahnya dengan kesanggupan akan berusaha sekuat
tenaga menyelenggarakan amanat ayahnya dengan sebaik-baiknya dan sempurna
berpergiannya akan mendapat segala sesuatu dalam keadaan baik dan menyenangkan.
Demikianlah kata-kata dan janji yang keluar dari mulut Qabil namun dalam
hatinya ia berkata bahawa ia telah diberi kesempatan yang baik untuk
melaksanakan niat jahatnya dan melepaskan rasa dendamnya dan dengkinya terhadap
Habil saudaranya.
Tidak
lama setelah Adam meninggalkan keluarganya datanglah Qabil menemui Habil di
tempat penternakannya. Berkata ia kepada Habil:"Aku datang ke mari untuk
membunuhmu. Masanya telah tiba untuk aku lenyapkan engkau dari atas bumi
ini."
"Apa
salahku?"tanya Habil. Dengan asalan apakah engkau hendak membunuhku?"
Qabil
berkata:"Ialah kerana korbanmu diterima oleh Allah sedangkan korbanku
ditolak yang bererti bahawa engkau akan mengahwini adikku Iqlima yang cantik
dan molek itu dan aku harus mengahwini adikmu yang buruk dan tidak mempunyai
gaya yang menarik itu."
Habil
berkata:"Adakah berdosa aku bahawa Allah telah menerima korbanku dan
menolak korbanmu?Tidakkah engkau telah bersetuju cara penyelesaian yang
diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami laksanakan?Janganlah tergesa-gesa
wahai saudaraku, mempertaruhkan hawa nafsu dan ajakan syaitan! Kawallah
perasaanmu dan fikirlah masak- masak akan akibat perbuatanmu kelak! Ketahuilah
bahawa Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa yang
menyerahkan dengan tulus ikhlas dari hati yang suci dan niat yang murni.Adakah
mungkin sesekali bahawa korban yang engkau serahkan itu engkau pilihkannya dari
gandummu yang telah rosak dan busuk dan engkau berikan secara terpaksa
bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga ditolak oleh Allah, berlainan
dengan kambing yang aku serahkan sebagai korban yang sengaja aku pilihkan dari
perternakanku yang paling sihat dan kucintai dan ku serahkannya dengan tulus
ikhlas disertai permohonan diterimanya oleh Allah.
Renungkanlah,
wahai saudaraku kata-kataku ini dan buangkanlah niat jahatmu yang telah
dibisikkan kepadamu oleh Iblis itu, musuh yang telah menyebabkan turunnya ayah
dan ibu dari syurga dan ketahuilah bahawa jika engkau tetap berkeras kepala
hendak membunuhku, tidaklah akan aku angkat tanganku untuk membalasmu kerana
aku takut kepada Allah dan tidak akan melakukan sesuatu yang tidak
diredhainya.Aku hanya berserah diri kepada-Nya dan kepada apa yang akan
ditakdirkan bagi diriku."
Nasihat
dan kata-kata mutiara Habil itu didengar oleh Qabil namun masuk telinga kanan
keluar telinga kiri dan sekali-kali tidak sampai menyentuh lubuk hatinya yang
penuh rasa dengki, dendam dan iri hati sehingga tidak ada tempat lagi bagi rasa
damai, cinta dan kasih sayang kepada saudara sekandungnya. Qabil yang
dikendalikan oleh Iblis tidak diberinya kesempatan untuk menoleh kebelakang
mempertimbangkan kembali tindakan jahat yang dirancangkan terhadap saudaranya,
bahkan bila api dendam dan dengkin didalam dadanya mulai akan padam dikipasinya
kembali oleh Iblis agar tetap menyala-yala dan ketika Qabil bingung tidak tahu
bagaimana ia harus membunuh Habil saudaranya, menjelmalah Iblis dengan seekor
burung yang dipukul kepalanya dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan
oleh Iblis itu diterapkannya atas diri Habil di kala ia tidur dengan nyenyaknya
dan jatuhlah Habil sebagai korban keganasan saudara kandungnya sendiri dan
sebagai korban pembunuhan pertama dalam sejarah manusia
Penguburan Jenazah Habil
Qabil
merasa gelisah dan bingung menghadapi mayat saudaranya.ia tidak tahu apa yang
harus diperbuat dengan tubuh saudaranya yang semakin lama semakin busuk
itu.Diletakkannyalah tubuh itu di sebuah peti yang dipikulnya seraya
mundar-mundir oleh Qabil dalam keadaan sedih melihat burung-burung sedang
berterbangan hendak menyerbu tubuh jenazah Habil yang sudah busuk itu.
Kebingungan
dan kesedihan Qabil tidak berlangsung lama kerana ditolong oleh suatu contoh
yang diberikan oleh Tuhan kepadanya sebagaimana ia harus menguburkan jenazah
saudaranya itu.Allah s.w.t. Yang Maha Pengasih lagi Maha Bijaksana, tidak rela
melihat mayat hamba-Nya yang soleh dan tidak berdosa itu tersia-sia demikian
rupa, maka dipertunjukkanlah kepada Qabil, bagaimana seekor burung gagak
menggali tanah dengan kaki dan paruhnya, lalu menyodokkan gagak lain yang sudah
mati dalam pertarungan, ke dalam lubang yang telah digalinya, dan menutupi
kembali dengan tanah. Melihat contoh dan pengajaran yang diberikan oleh burung
gagak itu, termenunglah Qabil sejenak lalu berkata pada dirinya
sendiri:"Alangkah bodohnya aku, tidakkah aku dapat berbuat seperti burung
gagak itu dan mengikuti caranya menguburkan mayat saudaraku ini?"
Kemudian
kembalilah Adam dari perjalanan jauhnya.Ia tidak melihat Habil di antara
putera-puterinya yang sedang berkumpul.Bertanyalah ia kepada Qabil:"Di
manakah Habil berada?Aku tidak melihatnya sejak aku pulang."
Qabil
menjawab:"Entah, aku tidak tahu dia ke mana! Aku bukan hamba Habil yang
harus mengikutinya ke mana saja ia pergi."
Melihat
sikap yang angkuh dan jawapan yang kasar dari Qabil, Adam dapat meneka bahawa
telah terjadi sesuatu ke atas diri Habil, puteranya yang soleh, bertakwa dan
berbakti terhadap kedua orang tuanya itu.Pada akhirnya terbukti bahawa Habil
telah mati dibunuh oleh Qabil sewaktu peninggalannya.Ia sangat sesal di atas
perbuatan Qabil yang kejam dan ganas itu di mana rasa persaudaraan, ikatan
darah dan hubungan keluarga diketepikan sekadar untuk memenuhi hawa nafsu dan
bisikan yang menyesatkan.
Menghadapi
musibah itu, Nabi Adam hanya berpasrah kepada Allah menerimanya sebagai takdir
dan kehendak-Nya seraya mohon dikurniai kesabaran dan keteguhan iman baginya
dan kesedaran bertaubat dan beristighfar bagi puteranya Qabil.
Kisah Qabil dan Habil Dalam Al-Quran
Dan
bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam
(Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka
berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada
Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak
diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya
aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima
(korban) dari orang-orang yang bertaqwa; (Al-Maidah 5:27)
Maka
nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya,
lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang
rugi .(Al-Maidah
5:30)
Kemudian
Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi
supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya.
(Qabil) berkata: "Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku,
aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan
mayat saudaraku?". Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang
menyesal. (Al-Maidah
5:31)
Pengajaran Dari Kisah Putera Nabi Adam a.s.
Bahawasanya
Allah s.w.t. hanya menerima korban dari seseorang yang menyerahkannya dengan
tulus dan ikhlas, tidak dicampuri dengan sifat riyak, takabur atau ingin
dipuji.Barang atau binatang yang dikorbankan harus yang masih baik dan sempurna
dan dikeluarkannya dari harta dan penghasilan yang halal.Jika korban itu berupa
binatang sembelihan, harus yang sihat, tidak mengandungi penyakit atau pun
cacat, dan jika berupa bahan makanan harus yang masih segar baik dan belum
rusak atau busuk.
Bahawasanya
penyelesaian jenazah manusia yang terbaik adalah dengan cara penguburan
sebagaimana telah diajarkan oleh Allah kepada Qabil.itulah cara paling sesuai
dengan martabat manusia sebagai makhluk yang dimuliakan dan diberi kelebihan
oleh Allah di atas makhluk-makhluk lainnya, menurut firman Allah dalam surah
"Al-Isra" ayat 70 yang bererti ; "Dan sesungguhnya telah Kami
muliakan anak-anak Adam.Kami angkut mereka di daratan dan di lautan.Kami beri
mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan
yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan."
No comments:
Post a Comment