SIRAH NABI
MUHAMMAD S.A.W
Peristiwa-peristiwa Sejarah
Riwayat-riwayat yang sabit berkenaan kehidupan Baginda s.a.w. sebelum diutuskan sebagai Rasul menunjukkan kepada kita beberapa hakikat berikut:
1. Bani Hasyim merupakan keturunan Quraisy yang paling mulia. Manakala Quraisy pula adalah kabilah 'Arab yang paling mulia dan berketurunan bersih. Mereka juga memiliki kedudukan yang paling tinggi di kalangan bangsa Arab. Diriwayatkan daripada al-Abbas r.a.,
daripada Rasulullah s.a.w., Baginda bersabda:
“Sesungguhnya Allah mencipta makhluk ini, lalu Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik makhluk dan daripada sebaik-baik kelompok mereka (manusia). Dia juga menjadikan aku daripada sebaik-baik kumpulan di antara dua kumpulan (Arab dan bukan Arab). Kemudian Dia meneliti pemilihan kabilah-kabilah secara rapi, maka Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik kabilah (Quraisy). Kemudian Dia meneliti pemilihan keluargakeluarga secara rapi, maka Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik keluarga (Bani Hasyim). Sementara aku adalah sebaik-baik jiwa (sehingga dipilih menjadi rasul dan penutup segala nabi) dan sebaik-baik keluarga di
kalangan mereka. (asal-usul keturunan ibu bapa dan nenek moyang Baginda tiada yang lahir daripada perzinaan, bahkan melalui pernikahan yang sah)”. (Riwayat at-Tirmizi dengan sanad yang sahih).
Oleh kerana keturunan Baginda s.a.w. adalah mulia di kalangan Quraisy, kita tidak temui isu keturunan menjadi bahan celaan mereka terhadap Nabi s.a.w.. Ini disebabkan kemuliaan keturunan Baginda cukup jelas kepada mereka. Quraisy telah mencela Baginda dengan banyak isu yang direka-reka tetapi bukan dalam isu keturunan.
2. Baginda membesar sebagai anak yatim. Bapa Baginda, Abdullah telah meninggal dunia ketika ibu Baginda baru mengandungkan Baginda dua bulan. Apabila Baginda berusia 6 tahun, ibu Baginda, Aminah pula meninggal dunia. Oleh itu, semasa kecil Baginda s.a.w. telah merasai pahit maung tidak mendapat belaian kasih sayang ibu bapa. Selepas itu,Baginda telah dipelihara oleh datuk Baginda, Abdul Muttolib. Ketika berumur 8 tahun, datuk Baginda pula meninggal dunia. Dengan itu Baginda selanjutnya dipelihara oleh bapa saudara Baginda, Abu Tolib sehingga Baginda besar dan dewasa. Keyatiman Baginda ini telah disebut oleh al-Quran al-Karim dengan firman Allah Taala yang bermaksud:
Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lain Dia memberikan perlindungan? (Ad-Dhuha: 6)
3. Rasulullah s.a.w. menghabiskan empat tahun pertama zaman kanak-kanak di padang pasir, di perkampungan Bani Saad. Oleh itu, Baginda membesar dengan tubuh yang kuat,jasmani yang sejahtera, lidah yang fasih, jiwa yang berani dan mampu menunggang kuda dengan baik sekalipun masih kecil usianya. Bakat-bakat Baginda terasah dalam kemurnian dan keheningan padang pasir, dibawah kilauan pancaran matahari dan udara yang bersih.
4. Keunggulan Baginda telah diketahui sejak kecil lagi. Tampak pada roman mukanya tanda-tanda kecerdikan yang menimbulkan rasa sayang kepada sesiapa yang melihat Baginda. Apabila Rasul s.a.w. datang ke majlis datuknya semasa zaman kanak-kanak, Baginda duduk di atas tilam datuknya. Sedangkan jika datuknya duduk di atas tilam itu, tiada seorangpun anak-anaknya (bapa saudara Rasul) akan duduk di atasnya. Oleh itu, bapa-bapa saudara Baginda cuba menariknya daripada tilam tersebut. Lantas Abdul Muttolib berkata:
Biarkan cucuku ini. Demi Allah dia memiliki keistimewaan.
5. Pada awal remaja, Baginda s.a.w. mengembala kambing untuk penduduk Makkah dengan bayaran upah beberapa qirat (1/24 dinar). Telah sabit daripada Baginda s.a.w. bahawa Baginda bersabda:
Maksudnya: Semua nabi pernah mengembala kambing. Mereka bertanya: Kamu juga
wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Aku juga begitu.
Dalam riwayat lain, Baginda bersabda:
Yang bermaksud:Semua Nabi yang diutuskan Allah pernah mengembala kambing. Maka sahabat Baginda bertanya kepadanya: Kamu juga wahai Rasulullah? Lantas Baginda menjawab: Aku juga begitu. Aku pernah mengembala kambing untuk penduduk Makkah dengan upah beberapa qirat.
Kemudian, apabila umur Baginda mencapai 25 tahun, Baginda berniaga untuk Khadijah binti Khuwailid. Baginda berniaga bermodalkan harta Khadijah dengan mendapat bayaran upah.
6. Baginda s.a.w. tidak menyertai rakan-rakan sebayanya di kalangan remaja Makkah dalam bersukaria dan berfoya-foya. Allah telah memelihara Baginda daripada terlibat dalam gejala tersebut. Kitab-kitab sirah menceritakan dengan panjang lebar, semasa usia remajanya,Baginda terdengar suara nyanyian daripada salah sebuah rumah di Makkah sempena majlis perkahwinan. Baginda teringin menyaksikannya. Tetapi Allah menjadikan Baginda tertidur.Baginda hanya terjaga setelah matahari panas terik. Baginda juga tidak terlibat bersama kaumnya menyembah berhala, makan sembelihan untuk berhala, minum arak dan bermain judi. Baginda juga tidak pernah bercakap celupar dan berkata kesat.
7. Sejak Baginda mula mumayyiz, Baginda dikenali mempunyai akal yang matang dan pandangan yang bernas. Peristiwa perletakan Hajarul Aswad ke tempatnya di Kaabah menjadi bukti yang jelas terhadap perkara ini. Kaabah telah dilanda banjir menyebabkan dindingnya retak. Oleh itu, penduduk Makkah membuat keputusan meruntuhkannya dan memperbaharui binaannya. Mereka melaksanakan keputusan itu. Namun, apabila pembinaan sampai ke peringkat meletak Hajarul Aswad ke tempat asalnya, mereka bertengkar tentang siapakah yang akan mendapat penghormatan untuk meletak Hajarul Aswad ke tempatnya.
Setiap kabilah ingin mendapat penghormatan itu. Pertelingkahan bertambah hebat sehingga mereka saling mengancam untuk berperang. Kemudiannya mereka bersetuju untuk merujuk kepada orang pertama yang memasuki pintu masuk Bani Syaibah (salah satu pintu Masjidil Haram) sebagai hakim.
Sejurus kemudian, orang pertama yang memasuki masjid melalui pintu itu ialah Rasulullah s.a.w.. Apabila mereka melihat Baginda, mereka berkata: Ini al-Amin (gelaran kepada Rasulullah s.a.w.). Kami rela dengan hukumannya. Apabila Baginda diberitahu tentang pertelingkahan tersebut, Baginda menyelesaikan masalah itu dengan penyelesaian yang dipersetujui oleh semua pihak yang bertelingkah. Baginda membentangkan kain selendangnya, kemudian mengambil Hajarul Aswad dan diletakkan ke atas kain itu. Baginda kemudiannya menyuruh setiap kabilah memegang hujung selendang. Apabila mereka mengangkatnya dan Hajarul Aswad itu tiba ke tempat letaknya, Baginda mengambil dan meletakkannya ke tempatnya dengan tangan Baginda. Mereka semua berpuashati. Allah telah mengelakkan daripada berlaku pertumpahan darah orang-orang Arab melalui kecerdikan dan kebijaksanaan akal Baginda sehingga ke satu tempoh yang hanya diketahui oleh Allah.
8. Semasa remaja, Baginda s.a.w. dikenali sebagai seorang yang jujur dan amanah di kalangan kaumnya, Baginda terkenal dengan hubungan baik, menepati janji, perjalanan hidup mengikut landasan yang lurus dan reputasi baik. Ini menarik minat Khadijah untuk member tawaran kepada Baginda agar memperniagakan harta dagangannya melalui sebuah kafilah yang pergi ke kota Busra setiap tahun. Khadijah telah menyerahkan harta dagangan kepada Baginda, sekali ganda lebih banyak berbanding yang diberikan kepada lelaki daripada kaumnya sendiri. Apabila Baginda pulang ke Makkah, hamba Khadijah, Maisarah telah menceritakan kepadanya sikap amanah dan ikhlas Baginda. Khadijah juga melihat keuntungan banyak yang diperolehi dalam perniagaan tersebut. Kesemua itu mendorong beliau untuk menggandakan upah Baginda daripada yang telah dijanjikan. Perkara ini juga menarik minat Khadijah untuk melamar Baginda. Baginda telah menerima lamaran Khadijah sedangkan Baginda 15 tahun lebih muda daripadanya. Kata-kata Khadijah merupakan perakuan terbaik terhadap kebaikan akhlak Baginda sebelum kenabian. Kata-kata ini beliau ungkapkan ketika menenangkan Baginda yang pulang dalam keadaan menggeletar ketakutan setelah didatangi wahyu di Gua Hira: "Tidak sekali-kali. Demi Allah, Allah tidak akan sekalikali menghina kamu. Kamu menghubungkan silaturrahim, membela pihak yang lemah,memberi pendapatan kepada yang tidak berharta, memuliakan tetamu dan menolong mereka yang berhak."
9. Baginda bermusafir keluar dari Makkah sebanyak dua kali. Pertama, bersama bapa saudara Baginda, Abu Tolib ketika berusia 12 tahun. Kedua, ketika berusia 25 tahun, sebagai peniaga kepada harta dagangan Khadijah. Kedua-dua destinasi perjalanan ini ialah kota Busra di Syam. Dalam kedua-dua perjalanan ini, Baginda mendengar perbualan para peniaga,melihat kesan-kesan negara yang dilaluinya, juga adat-adat yang diamalkan oleh penduduknya.
10. Beberapa tahun sebelum diutuskan sebagai Nabi, Allah telah menimbulkan rasa cinta kepada Baginda s.a.w., untuk pergi ke Gua Hira (sebuah bukit yang berdekatan dengan Makkah dan terletak di barat laut Makkah). Baginda berkhalwah di dalamnya selama sebulan (iaitu dilakukan dalam bulan Ramadhan.) kerana memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah dan kehebatan kekuasaan-Nya. Perkara ini berterusan sehingga datang wahyu dan turunnya al-Quran al-Karim kepada Baginda.
Pengajaran dan Pedoman
Daripada kisah-kisah di atas, pengkaji akan mendapati beberapa pengajaran dan kesimpulan
seperti berikut:
1. Sekiranya pendakwah kepada Allah atau pengislah berada di kedudukan yang mulia di kalangan masyarakat, orang ramai akan lebih tertarik untuk mendengar seruannya. Menjadi kebiasaan, masyarakat akan memperlekehkan para pengislah dan pendakwah sekiranya mereka berasal daripada latar belakang yang tidak dikenali atau keturunan yang hina. Apabila pendakwah yang menyeru masyarakat merupakan orang yang berketurunan mulia atau mempunyai kedudukan, mereka tidak mampu mentohmah pendakwah tersebut.Mereka hanya mampu mereka-reka fitnah bagi melepaskan diri daripada mendengar dakwah atau kata-katanya.
Oleh kerana itu, setelah Rasul s.a.w. mengirimkan surat kepada Hercules(Maharaja Rom) mengajak beliau dan kaumnya kepada Islam, soalan pertama yang ditanyakan oleh Hercules kepada Abu Suffian ialah:
"Bagaimanakah keturunan Muhammad dalam masyarakatmu?" Abu Suffian menjawab, (ketika itu beliau masih lagi musyrik): "Dia daripada keturunan kami yang paling mulia."
Apabila Hercules selesai bertanya dan mendengar jawapan Abu Suffian tentang diri Baginda, Hercules menerangkan rahsia soalan-soalan yang dikemukakannya. Hercules berkata kepada Abu Suffian:
"Aku tanyakan kepadamu, bagaimanakah keturunannya? Kamu mendakwa bahawa dia daripada keturunan kamu yang paling mulia. Demikianlah, Allah hanya memilih nabi daripada golongan yang mulia dalam kaumnya dan mempunyai keturunan yang paling baik." Benar, Islam tidak meletak apa-apa nilai kepada kemuliaan keturunan dalam menilai amalan seseorang.Namun,seseorang menjadi lebih mulia, berkedudukan dan mudah menempa kejayaan jika diaberketurunan dan berkeperibadian mulia. Sebagaimana dalam sebuah hadis sahih disebut,yang bermaksud:
Mereka yang terpilih semasa jahiliah adalah juga mereka yang terpilih
semasa Islam sekiranya mereka memahami.
2. Ketabahan pendakwah menanggung keperitan sebagai anak yatim atau kesusahan
hidup semasa kecil, menjadikan beliau lebih sensitif dengan nilai-nilai kemanusiaan yang mulia. Dia menjadi lebih belas simpati kepada anak yatira, orang miskin dan mereka yang diseksa. la juga menjadikan beliau berusaha untuk berlaku adil, melakukan kebajikan dan mengasihi golongan ini. Setiap pendakwah perlu kepada aset peri kemanusiaan yang mulia untuk membolehkan beliau merasai kesengsaraan orang yang lemah dan susah.Tiada yang boleh membekalkan perasaan kemanusiaan ini kepadanya kecuali beliau sendiri mengalami kesulitan yang dirasai oleh golongan yang lemah seperti anak-anak yatim, para fakir dan miskin.
3. Pendakwah yang hidup dalam suasana yang lebih hampir kepada fitrah semulajadi dan jauh daripada kehidupan kompleks, kemurnian fikiran, kekuatan akal, tubuh badan danjiwa juga kesejahteraan rasional dan pemikiran akan mudah dibentuk. Oleh keranu itu, Allah tidak memilih orang Arab untuk melaksanakan risalah Islam secara kebetulan atau tanpa tujuan. Bahkan kerana mereka lebih berjiwa murni, berpemikiran sejahtera dan berakhlak mantap. Mereka lebih cekal menanggung kesukaran perang di jalan Allah dan menyebarkan risalah-Nya ke seluruh ceruk dunia jika dibandingkan dengan bangsa bertamadun yang berjiran dengan mereka.
4. Hanya orang yang cerdik dan cerdas layak memegang tampuk dakwah dan kepimpinannnya. Orang yang bodoh dan sederhana pandai tidak layak menyandang kepimpinan gagasan, pengislahan mahupun kerohanian. Bahkan antara peraturan hidup,mereka yang bodoh, berpemikiran bercelaru dan pelik, tidak layak memimpin mana-mana bidang kehidupan. Sekiranya secara kebetulan atau situasi yang ada memberi peluang kepada mereka untuk memegang pusat kepimpinan, dia akan jatuh menjunam. Masyarakat akan memecatnya setelah mendapati tindak tanduknya menunjukkan kebodohan, kejanggalan dan pemikirannya yang bercelaru.
5. Dalam urusan sara hidup, seseorang pendakwah perlu bergantung kepada usaha peribadinya dan sumber pencarian yang mulia. Dia tidak mengemis, merendah harga diri atau hina. Pendakwah yang benar dan mulia tidak rela hidup dengan hasil sedekah dan pemberian orang. Adakah mereka masih lagi mempunyai harga diri setelah mereka sendiri bertindak menjatuhkan maruah diri dengan sibuk meminta dan mengemis, walaupun bukan secara terang-terangan?! Apabila kita temui ada yang mendakwa dirinya berdakwah dan member tunjuk ajar, namun dalam masa yang sama sibuk mengaut harta orang ramai dengan bermacam-macam helah, sebenarnya dia menghina diri sendiri. Bagaimana pula kaum dan jiran memandangnya? Sesiapa yang merelakan dirinya hina, bagaimana dia mampu mengajak kepada kemuliaan akhlak, berdiri teguh menghadapi thaghut dan pembuat fasad,memerangi kejahatan dan kerosakan, serta membangkitkan roh kemuliaan, harga diri dan istiqamah dalam diri umat?.
6. Kehidupan pendakwah yang lurus semasa remaja dan perjalanan hidup yang baik lebih menjamin kejayaan beliau dalam dakwah kepada Allah, pengislahan akhlak dan memerangi mungkar. Ini kerana, dia tidak akan berhadapan dengan orang yang mencemuh keperibadiannya ketika dia masih belum berkecimpung dalam dakwah. Ramai yang kita temui melakukan dakwah islah, khususnya pengislahan akhlak; faktor terbesar orang ramai menolak mereka ialah komen terhadap latar belakang hidup mereka yang tercemar dan akhlak mereka yang menyeleweng. Bahkan rekod masa lampau yang buruk menimbulkan keraguan terhadap kejujuran pendakwah seperti mereka. Mereka ditohmah berselindung di sebalik dakwah islah untuk mencapai sesuatu tujuan.
Mereka juga dituduh hanya memulakanseruan pengislahan setelah merasa puas dengan kelazatan hidup dan syahwat. Mereka dianggap telah berada dalam kondisi atau usia yang tiada harapan lagi untuk mengejar kebendaan, harta, kemasyhuran atau kemegahan. Sementara itu, pendakwah yang hidup di atas landasan yang betul semasa remajanya akan sentiasa mengangkat kepala (tidak boleh diperendah-rendahkan) dengan dahi yang berseri-seri. Musuh-musuh pengislahan tidak menemui jalan untuk mencemuh masa lalunya yang terdekat mahupun yang lampau.
Mereka tidak mampu mengeksploitasi sejarah lampau yang terpesong untuk memburukkan namanya atau mengajak orang ramai memperlekehkannya. Betul, Allah menerima taubat orang yang bertaubat dan kembali kepada-Nya dengan jujur dan ikhlas. Allah menghapuskan kejahatan yang lalu dengan kebaikan beliau yang kini. Akan tetapi, perkara ini tidak sama dengan pendakwah yang menunggu-nunggu kejayaan dakwahnya, disebabkan perjalanan hidupnya yang sentiasa berada di atas landasan yang lurus dan reputasinya yang baik.
7. Pengalaman pendakwah berkelana, bergaul dengan orang ramai, memahami adat,
situasi dan masalah mereka, memberi kesan besar kepada kejayaan dakwahnya. Pendakwah yang berinteraksi dengan orang ramai hanya melalui buku dan esei tanpa bergaul dengan mereka yang mempunyai berbagai aliran, adalah golongan yang gagal dalam dakwah islah.Orang ramai tidak akan mendengar kata-kata mereka. Seruan mereka tidak akan dapat diterima oleh akal, kerana orang ramai melilihat mereka jahil tentang kondisi dan permasalahan masyarakat. Sesiapa yang mahu mengislah golongan beragama, dia perlu hidup bersama mereka di masjid, di majlis dan dalam masyarakat mereka.
Sesiapa yang ingin mengislah golongan buruh dan peladang, dia mesti hidup dengan mereka di kampung dan kilang. Makan bersama di rumah mereka dan berbual dengan mereka dalam persekitaran masyarakat mereka. Sesiapa yang ingin mengislah urus niaga yang berlaku dalam masyarakat, dia patut bergaul dengan mereka di pasar, gedung perniagaan, kilang, kelab dan majlis mereka.Sesiapa yang berhasrat mengislah keadaan politik, dia hendaklah bercampur
dengan ahli-ahli politik, mengenali organisasi mereka, mendengar ucapan mereka, membaca perjalanan program dan parti mereka. Dia juga perlu mengenal pasti persekitaran mereka tinggal, latar belakang pengetahuan yang mereka jadikan sumber dan hala tuju mereka. Agar dia tahu bagaimana bercakap dengan mereka tentang sesuatu perkara dan perkara tersebut tidak menyebabkan mereka menjauhkan diri. Lantaran itu, dia dapat mengetahui bagaimana melakukan pengislahan terhadap mereka melalui strategi yang tidak mendorong mereka memeranginya disebabkan rasa benci dan beremosi. Itulah pengalaman hidup dan pengetahuan berkaitan kemanusiaan yang mesti dimiliki oleh pendakwah. Ini membolehkannya merealisasikan firman Allah Taala yang bermaksud:
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan
dan nasihat pengajaran yang baik. (An-Nahl: 125)
8. Dari masa ke semasa, pendakwah kepada Allah mestilah mempunyai waktu untuk dia bersendiri. Dalam tempoh itu, rohnya berhubung dengan Allah Jalla Sya'nuh. Jiwanya dibersihkan daripada kotoran akhlak tercela dan kehidupan kacau bilau di sekelilingnya.Bersendiri seumpama ini akan mengajak pendakwah memuhasabah diri, andainya dia cuai melakukan kebaikan, tergelincir dari landasan yang dituju dan menjauhi jalan hikmah. Boleh jadi dia melakukan kesilapan dalam cara, manhaj dan jalan, atau dia tenggelam bersama orang ramai dalam perdebatan dan perbincangan. Sehingga dia alpa daripada zikrullah,bermesra dengan-Nya dan lupa mengingati akhirat sama ada syurga mahupun neraka.
Perdebatan tersebut menyebabkannya lupa tentang kesengsaraan dan kesakitan mati. Oleh kerana itu, tahajjud dan qiamullail menjadi fardhu bagi Nabi s.a.w. dan hanya sunat kepada orang lain. Orang yang sepatut mengambil berat amalan sunat ini ialah para pendakwah ke jalan Allah, syariat dan syurga-Nya. Khulwah (bersendirian), tahajjud dan qiamullail di penghujung malam mempunyai kelazatan yang tidak diketahui kecuali mereka yang Allah muliakan melalui amalan-amalan tersebut. Ibrahim bin Adham rahimahullah berkata seketika selepas bertahajjud dan beribadat:
"Kelazatan yang kami kecapi jika diketahui oleh raja-raja,pasti mereka akan memerangi kami demi memperolehinya."
Cukuplah untuk pedoman kita, firman Allah Taala yang ditujukan
kepada Baginda yang bermaksud:Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat). Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Quran dengan "Tartil". (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi
perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. (Al-Muzzammil: 1-6)
PERMULAAN WAHYU SEHINGGA HIJRAH KE HABSYAH
Peristiwa-peristiwa Sejarah
Di dalam tempoh ini, peristiwa-peristiwa sejarah berikut terbukti berlaku:
1. Wahyu diturunkan kepada Rasul s.a.w.: Apabila Nabi s.a.w. berusia genap 40 tahun, Jibril turun membawa wahyu kepada Baginda. la berlaku pada hari Isnin, 17 Ramadhan. Imam al-Bukhari r.hm. meriwayatkan kepada kita tentang cara penurunan wahyu dalam Kitab Sahihnya dengan sanad yang bersambung kepada Aishah, kata beliau:
Perkara pertama yang mula-mula berlaku kepada Rasulullah s.a.w. ialah mimpi baik semasa tidur. Baginda hanya bermimpi melihat ia datang seperti cahaya subuh. Kemudian ditimbulkan kepada Baginda rasa cinta untuk berkhulwah (bersendirian). Baginda berkhulwah di Gua Hira. Baginda
beribadat di dalamnya untuk beberapa malam sebelum pulang menemui keluarganya bagi mengambil bekalan untuk khulwah seterusnya. Kemudian Baginda kembali menemui Khadijah, mengambil bekalan yang seumpamanya. Sehinggalah wahyu kebenaran diturunkan kepada Baginda ketika berada di Gua Hira. Malaikat (Jibril) datang menemui Baginda seraya berkata:
Bacalah. Baginda berkata: Aku tidak tahu membaca. Baginda menceritakan: Maka dia memegang dan menutupi aku sehingga aku merasa kepenatan. Kemudian dia melepaskan aku. Dia berkata lagi: Bacalah. Maka aku berkata: Aku tidak tahu membaca. Maka dia memegang dan menutupi aku untuk kali kedua sehingga aku merasa penat. Kemudian dia melepaskan aku. Dia berkata kembali: Bacalah. Maka aku berkata: Aku tidak tahu membaca. Maka dia memegang dan menutupi aku untuk kali ketiga. Kemudian dia melepaskan aku seraya berkata: ‘’Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya’’. (Al-Alaq: 1-5)
Setelah itu, Rasulullah s.a.w. pulang dalam keadaan gementar. Baginda mendapatkan Khadijah binti Khuwailid r.ha. seraya berkata: "Selimutkan aku, selimutkan aku." Khadijah segera menyelimutkan Baginda sehingga hilang rasa takut. Baginda menceritakan apa yang berlaku dan berkata: "Aku bimbangkan diriku." Lantas Khadijah berkata: "Tak mungkin. Demi Allah, Allah tidak sekali-kali akan menghina kamu. Kamu menyambung silaturrahim, menanggung pihak yang lemah, member pendapatan kepada yang tidak berharta, memuliakan tetamu dan menolong mereka yang hak."
Setelah itu, Khadijah bersama Rasulullah s.a.w. berangkat menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin 'Abdul 'Uzza. Waraqah merupakan sepupu Khadijah. Beliau seorang lelaki yang menganut agama Nasrani semasa jahiliyah. Beliau juga boleh menulis dalam bahasa Ibrani. Beliau telah menulis Injil dengan bahasa Ibrani setakat yang dikehendaki Allah. Ketika pertemuan ini, dia telah tua dan buta. Khadijah berkata: "Wahai sepupuku,dengarlah (kisah) daripada anak sahabatmu." Maka Waraqah bertanya kepada Baginda: "Wahai anak sahabatku, apa yang kamu lihat?" Lantas Rasulullah s.a.w. menceritakan apa yang telah dilihatnya. Waraqah berkata: "Ia adalah Namus (pembawa wahyu, iaitu Jibril) yang pernah turun kepada nabi Musa a.s.. Alangkah baiknya kalau aku masih muda remaja dan kuat. Semoga aku masih hidup ketika kaum kamu mengusirmu keluar." Lantas Rasulullah s.a.w. bertanya:
"Adakah mereka akan mengusir aku keluar?" Dia berkata: "Ya.
Tiada seorang lelaki yang datang membawa seperti apa yang kamu bawa, pasti akan
dimusuhi. Sekiranya aku sempat dengan hari itu, aku akan menolong kamu semampuku."
Tidak lama kemudian, Waraqah meninggal dunia. Sementara wahyu pula telah terhenti
sementara waktu.
Dalam riwayat Ibnu Hisyam daripada Ibnu Ishaq disebut: Jibril datang menemui Rasulullah s.a.w. ketika Baginda sedang tidur di Gua Hira. Dia datang dengan membawa sejenis bekas daripada sutera yang diletakkan kitab di dalamnya. Jibril berkata:
"Bacalah(wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia
menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.
Yang mengajar manusia melaluipena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak
diketahuinya." (Al-Alaq: 1-5).
Baginda berkata: "Maka aku membacanya. Kemudian, setelah selesai dia beredar, lalu aku terjaga daripada tidur. Seolah-olah tertulis dalam hatiku satutulisan." Baginda berkata: "Maka aku keluar (daripada gua itu) sehingga aku berada di tengah-tengah bukit. Aku dengar satu suara daripada langit berkata: "Wahai Muhammad, kamu adalah utusan Allah, aku adalah Jibril." Baginda berkata: "Lantas aku mendongak kepalaku ke langit untuk melihat. Tiba-tiba (muncul) Jibril dalam bentuk seorang lelaki yang menyandarkan kedua-dua kakinya di ufuq langit. Dia berkata: "Wahai Muhammad, kamu adalah utusan Allah dan aku adalah Jibril." Baginda berkata: "Aku tercegat melihatnya, tidak mara mahupun berundur. Aku memalingkan mukaku daripadanya di ufuq langit. Namun apabila aku memandang ke arah langit yang lain, aku tetap melihatnya juga. Aku terus tercegat berdiri, tidak ke depan mahupun ke belakang sehinggalah Khadijah mengutuskan utusan-utusannya mencariku.... (hingga akhir riwayat).
2. Orang pertama yang beriman dengan Baginda dan memeluk Islam ialah isteri Baginda, Khadijah r.ha., kemudian sepupu Baginda, Ali r.a.. Ketika itu Ali masih kanak-kanak berumur 10 tahun. Kemudian diikuti pula oleh bekas hamba Baginda, Zaid bin Harithah. Kemudiannya Abu Bakar as-Siddiq r.a.. Hamba sahaya yang mula-mula sekali memeluk Islam ialah Bilal bin Rabah al-Habsyi. Oleh itu, Khadijah merupakan orang yang pertama beriman dengan Baginda secara mutlak. Rasulullah s.a.w. telah bersembahyang bersamanya pada petang hari Isnin. la merupakan hari pertama Baginda bersembahyang. Solat ketika itu dilakukan dua rakaat di waktu subuh dan dua rakaat di waktu petang.
3. Kemudian wahyu terhenti untuk seketika. Berlaku perselisihan riwayat tentang tempohnya. Yang paling lama ialah tiga tahun dan paling singkat ialah enam bulan. Riwayat enam bulan itulah yang sahih. Ketika tempoh terputusnya wahyu, Rasulullah s.a.w. merasa susah hati dan amat dukacita, sehingga Baginda hampir-hampir keluar ke kawasan bukit dan ingin menghumbankan diri daripada puncaknya2.( 2 Ayat: "hampir-hampir menghumbankan diri daripada kemuncak bukit kerana dukacita wahyu terhenti sekalipun terdapat dalam kitab Sahih al-Bukhah, ia adalah daripada retorika az-Zuhri. Ia tidak bersambung kait dengan riwayat asal. Sebagaimana yang disebut oleh pengarang kitab Fathul Bah. Lihat Fathul Bah 12/316.)
Baginda menyangka Allah telah membencinya setelah memilihnya untuk tugas risalah yang mulia. Selepas itu, wahyu kembali turun kepada Baginda, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, daripada Jabir bin Abdullah al-Ansori, daripada Nabi s.a.w.:
Ketika aku sedang berjalan-jalan, tiba-tiba aku mendengar satu suara daripada langit. Aku
mengangkat pandanganku. Rupa-rupanya ia adalah malaikat yang telah datang kepada aku
di Gua Hira'. Malaikat itu sedang duduk di atas kerusi di antara langit dan bumi. Aku merasa takut kepadanya, lantas aku pulang. Aku berkata: Selimutkan aku. Maka Allah Taala
telah menurunkan:
‘’Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.’’ (Al-Muddathir: 1-5) Setelah itu wahyu turun berterusan..
4. Selepas itu, Rasulullah s.a w. mula berdakwah kepada Islam di kalangan orang yang
dipercayai (kerasionalan) akalnya selama tiga tahun cukup. Hasilnya, beberapa orang lelaki
dan wanita yang terkenal dengan pemikiran yang matang dan jiwa yang sejahtera, telah memeluk Islam. Setelah bilangan mereka yang memeluk Islam mencapai kira-kira 30 orang, Allah
memerintahkan Rasul-Nya s.a.w. untuk menyampaikan dakwah secara terang-terangan. Ini
dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud:
‘’Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu’’. (Al-Hijr: 94)
5. Ekoran dakwah secara terang-terangan itu, bermulalah peringkat menyakiti orangorang
mukmin yang baru memeluk Islam. Bahkan Rasulullah s.a.w. turut disakiti. Orang musyrik merasa bimbang apabila Rasul memperbodohkan pemikiran mereka, membongkar kecacatan tuhan-tuhan mereka dan mengemukakan agama baru kepada mereka. Agama itu mengajak kepada Tuhan yang Esa. Tuhan yang tidak dapat dilihat oleh mata dan pandangan, sedangkan Dia yang mengetahui hakikat pandangan mata. Dia juga Tuhan yang Maha Lemah Lembut lagi Maha Mengetahui apa yang telah dan akan berlaku.
6. Dalam tempoh ini Rasul s.a.w. bersama orang-orang mukmin berhimpun secara sulit di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Al-Arqam bin Abi al-Arqam ketika itu telah memeluk Islam. Baginda membacakan ayat-ayat al-Quran al-Karim yang diterimanya kepada mereka di samping mengajar mereka hukum-hakam dan syariat agama yang telah diturunkan ketika itu.
7. Pada suatu hari, Rasul s.a.w. diperintahkan untuk memberi amaran kepada kaum keluarganya yang terdekat. Maka Baginda berdiri di bukit Sofa, menyeru satu persatu keluarga Quraisy. Baginda mengajak mereka kepada Islam dan meninggalkan penyembahan berhala. Baginda memotivasi mereka kepada syurga dan memberi amaran tentang neraka. Ekoran dakwah itu, Abu Lahab menengking Baginda: "Celaka kamu, adakah untuk ini kamu mengumpulkan kami?"
8. Quraisy ingin bertindak ke atas Rasul s.a.w., namun bapa saudara Baginda, Abu Tolib melindunginya. Beliau enggan menyerahkan Baginda kepada mereka. Setelah Quraisy beredar, Abu Tolib meminta Baginda untuk mengendur-kan dakwahnya. Baginda menyangka bapa saudaranya tidak lagi mahu membantunya, maka Baginda mengucapkan kata-katanya yang masyhur:
"Demi Allah, wahai bapa saudaraku! Kalau mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini, sekali-kali aku tidak akan meninggalkannya, sehingga-lah Allah memenangkannya atau aku binasa kerananya".
9. Selepas peristiwa tersebut, orang musyrik semakin hebat menyakiti Rasul s.a.w. dan para sahabat. Sehingga ada yang mati diseksa dan ada yang buta.
10. Apabila Quraisy melihat orang-orang mukmin tetap teguh dengan aqidah mereka (sekalipun diseksa dan disakiti), mereka membuat keputusan untuk berunding dengan Rasul s.a.w.. Mereka menawarkan harta sebanyak mana yang Baginda mahu, atau melantik Baginda sebagai raja mereka. Namun Baginda menolak semua tawaran itu.
11. Melihatkan kedegilan dan penyiksaan berterusan Quraisy terhadap para sahabat, Rasulullah s.a.w. berkata kepada para sahabatnya: "(Bagaimana) kalau sekiranya kamu keluar ke bumi Habsyah. Di sana ada seorang raja yang tidak menzalimi sesiapa yang tinggal di negerinya. (Kamu tinggal di sana) sehinggalah Allah menjadikan untuk kamu jalan keluar kepada kesulitan kamu ini."
Oleh itu, para sahabat berhijrah ke sana untuk kali pertama seramai 12 orang lelaki dan 4 wanita. Namun, selepas menerima khabar pengislaman Umar dan kejayaan Islam, mereka pulang kembali ke Makkah. Akan tetapi, tak lama kemudian mereka pergi semula ke Habsyah bersama orang-orang mukmin yang lain. Bilangan mereka dalam hijrah kali kedua ke Habsyah ini seramai 83 orang lelaki dan 11 orang wanita.
12. Selanjutnya, orang-orang musyrik bertindak memboikot Rasulullah s.a.w., Bani Hasyim dan Bani Muttolib. Orang musyrik tidak lagi berjual beli, bernikah dan bergaul dengan mereka. Orang musyrik juga tidak menerima sebarang perdamaian daripada mereka. Pemboikotan itu berlanjutan selama dua atau tiga tahun. Rasul s.a.w. dan orang yang bersamanya berhadapan dengan kesulitan yang teruk kesan pemboikotan tersebut. Ia berakhir hasil usaha tokoh-tokoh Quraisy yang rasional.
Pengajaran dan Pedoman
1. Apabila Allah ingin mendorong seseorang hamba berdakwah kepada kebaikan dan pengislahan, Dia akan mencampakkan ke dalam hatinya, rasa benci kepada kese-satan dan
kerosakan yang dilakukan oleh masyarakatnya.
2. Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah bercita-cita menjawat tugas kenabian dan tidak pernah mengimpikannya. Apa yang Allah ilhamkan kepada Baginda hanyalah rasa cinta untuk berkhulwah melakukan ibadat. Allah mengilhamkan perasaan tersebut sebagai proses pembersihan dan persediaan rohani untuk memikul bebanan risalah. Sekiranya Baginda s.a.w. bercita-cita memperolehi kenabian, nescaya Baginda tidak takut ketika wahyu diturunkan kepadanya. Baginda juga tidak akan menemui Khadijah meminta penerangan tentang rahsia kejadian yang dilihatnya dalam Gua Hira itu. Rasul s.a.w. mendapat kepastian bahawa Baginda adalah Rasul, hanya setelah melihat Jibril. Begitu juga setelah Waraqah bin Naufal menegaskan perkara itu kepada Baginda. Waraqah memberitahu Baginda, apa yang dialami Baginda di dalam gua tersebut adalah wahyu yang pernah diturunkan kepada nabi Musa a.s.
3. Jika dakwah islah merupakan satu perkara yang janggal kepada kepercayaan dan mentaliti kebanyakan orang ramai, pendakwah tidak perlu menyampaikannya secara lantang. Dia perlu menangguh langkah dakwah secara terang-terangan sehinggalah sebilangan manusia telah mengimani dakwah tersebut dan sanggup berkorban apa sahaja, mahal mahupun murah, demi jalan dakwah. Langkah ini dilakukan supaya jika pelopor dakwah disakiti, para pengikut yang beriman dengan dakwahnya akan bangkit melakukan kewajipan dakwah (menggantikan beliau). Dengan itu, kesinambungan dakwah akan terjamin.
4. Rasulullah s.a.w. telah mengejutkan Arab dengan perkara yang asing bagi mereka. Oleh itu, mereka menyanggah keras dakwah Baginda. Cita-cita mereka hanya untuk menghapuskan Baginda dan para sahabat. Penentangan ini merupakan jawapan dalam bentuk sejarah terhadap dakwaan pejuang perkauman. Mereka mendakwa nabi Muhammad s.a.w. dan risalah Baginda mewakili cita-cita dan aspirasi Arab ketika itu. Ini adalah dakwaan yang melucukan. la ditolak oleh fakta-fakta sejarah yang diperakui, sebagaimana yang kita dapati. Sebab yang mendorong mereka membuat dakwaan sebegini hanyalah berpunca daripada sikap ekstrim dalam mendokong seruan perkauman. Dakwaan ini juga didorong oleh keinginan mereka menjadikan Islam sebagai urusan yang lahir daripada keperibadian dan pemikiran Arab. la juga merupakan keingkaran yang nyata terhadap kenabian Rasul s.a.w. di samping merendahkan-rendahkan risalah Islam.
5. Walaupun setelah golongan jahat dan sesat mengenakan seksaan dan penindasan ke atas orang-orang mukmin, mereka tetap berpegang dengan akidah mereka. Ini menjadi bukti kejujuran iman dan keikhlasan pegangan akidah mereka. la juga menunjukkan ketinggian jiwa dan rohani mereka. Mereka menganggap kesakitan yang menimpa hanyalah sebagai satu kerehatan perasaan, juga ketenangan jiwa dan akal. Mereka lebih mendambakan keredhaan Allah Jalla Sya'nuh berbanding penyeksaan, halangan dan penindasan yang dialami oleh jasad mereka.
Penguasaan hakiki bagi orang-orang mukmin yang jujur dan pendakwah yang ikhlas adalah kepada roh-roh mereka, bukan kepada tubuh badan mereka. Mereka segera menyahut tuntutan rohani tanpa menghiraukan kerehatan, kekenyangan dan kelazatan yang dituntut oleh jasad mereka. Dengan sikap inilah, dakwah telah menang dan kebanyakan orang ramai ber-jaya dibebaskan daripada kegelapan kesesatan dan kejahilan.
6. Sabda Rasul s.a.w. kepada bapa saudara Baginda Abu Tolib dan keengganan Baginda
menerima tawaran harta dan takhta yang ditawarkan oleh Quraisy menjadi bukti kebenaran
dakwaan kerasulan Baginda. la juga menjadi bukti kesungguhan Baginda membawa petunjuk
kepada manusia. Demikian juga, seseorang pendakwah sepatutnya tekad meneruskan
dakwahnya walau bagaimana golongan batil berhimpun menentangnya. Dia perlu mengalih
pandangannya daripada godaan mereka yang menawarkan kemegahan dan pangkat. Bagi
orang-orang mukmin, susah payah di jalan kebenaran merupa-kan kerehatan jiwa dan hati
mereka. Pada mereka, redha Allah dan syurga-Nya lebih mulia dan lebih berharga daripada
segala pangkat, kemegahan dan harta dunia.
7. Pendakwah mestilah berada bersama-sama para penyokongnya untuk tempoh tertentu
pada setiap hari atau setiap minggu. la bertujuan untuk mempertingkat-kan keimanan mereka
terhadap dakwah, mengajar mereka tentang jalan, cara dan adab dakwah. Dia wajib menjadikan perhimpunan mereka rahsia apabila bimbang keselamatan diri dan jamaahnya terancam ekoran perhim-punan terang-terangan. Langkah ini agar golongan batil tidak berkomporomi menghapuskan mereka atau mening-katkan penyeksaan dan penindasan ke atas mereka.
8. Seorang pendakwah mestilah mengambil berat tentang kaum kerabatnya. Dia perlu
menyampaikan dakwah islah kepada mereka. Namun sekiranya mereka menolak, dia akan
mempunyai alasan di hadapan Allah dan manusia terhadap kerosakan dan kesesatan kaum
kerabatnya itu.
9. Apabila pendakwah mendapati jamaahnya dalam bahaya, sama ada kepada nyawa atau berbentuk ancaman fitnah kepada pegangan akidah, dia mestilah menyediakan tempat yang selamat untuk penyokongnya daripada pencerobohan golongan batil tersebut. Usaha ini tidak menafikan kewajipan para pendakwah kebenaran untuk berkorban. Namun jika bilangan mereka sedikit, golongan batil akan berjaya menghapuskan mereka dan melenyapkan dakwah sekaligus. Sementara kewujudan mereka di tempat yang selamat, menjadi jaminan kepada kesinambungan dakwah dan penyebarannya.
10. Perintah Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah sebanyak dua kali menunjukkan ikatan agama sesama golongan beragama (walaupun berbeza agama mereka) adalah lebih kuat dan kukuh. Ini berbanding ikatan mereka dengan penyembah berhala dan golongan atheis. Agama-agama Samawi dari segi sumber dan asas-asasnya yang aahih, sepakat dalam objektif utama sosial. la juga sepakat dalam persoalan keimanan kepada Allah, rasul-rasul-Nya dan hari Akhirat. Kebersamaan ini menjadikan jalinan kekerabatan antara agama-agama ini lebih kukuh berbanding mana-mana jalinan lain; Sama ada ikatan kaum kerabat, hubungan darah ataupun tempat tinggal yang berpasakkan pegangan atheism, keberhalaan dan kekufuran terhadap syariat Allah.
11. Golongan batil tidak mudah menyerah kalah kepada pendokong kebenaran. Setiap kali usaha pembasmian dakwah yang digunakan gagal mencapai objektifnya, mereka akan mencipta cara dan medium yang lain. Demikianlah penentangan ini akan berterusan sehinggalah kebenaran benar-benar mencapai kemenangan yang muktamad dan kebatilan menghembus nafasnya yang terakhir.
Sekian Wassalam...